Sabtu, 15 Disember 2012

31,931 Anak Selangor Terima Hadiah Pengajian

SHAH ALAM, 13 DIS: Sejumlah RM31.7 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri Selangor dalam program Hadiah Pengajian IPT sejak ia diperkenalkan pada 2008 lalu.
Dalam program tersebut, seramai 31,931 anak Selangor yang berjaya melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)  dan swasta  menerima manfaat program itu.
Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, langkah tersebut diambil berikutan keprihatinan Kerajaan Negeri bagi memastikan anak Selangor tidak ketinggalan menuntut ilmu di mana-mana institusi pengajian tinggi di negeri itu.
Abdul Khalid berkata demikian ketika melancarkan Hari Mahasiswa di Dewan Bankuet Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam malam tadi.
Menurut Abdul Khalid, Kerajaan Negeri menganggap golongan mahasiswa harus dihargai dan tidak boleh dipinggirkan kerana mereka merupakan bahagian terpenting dalam sesebuah masyarakat di negara ini dan Selangor khasnya.
“Kerajaan Negeri, walaupun dalam kesibukan meneruskan usaha membangunkan negeri, menambah hasil negeri menerusi kutipan cukai dan pelaburan demi kesejahteraan rakyat, namun kami dalam barisan kepimpinan kerajaan masih ada ruang dan peluang untuk memikirkan ehwal dan kebajikan mahasiswa negeri ini,” kata Abdul Khalid.
Sementara itu, pelajar jurusan Sains Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Adzkia Amana, berkata, Kerajaan Pusat dan negeri lain wajar mencontohi langkah kerajaan Selangor mewujudkan Hari Mahasiswa bagi menghargai golongan tersebut.
“Saya sangat gembira dengan inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri untuk mengadakan Hari Mahasiswa dan berterima kasih kerana begitu mengambil berat serta tahu menghargai golongan yang bernilai yang perlu dijaga ini,” ujar Adzkia.
Pelajar jurusan Sains Sumber Manusia, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Helmy Khusairy pula, langkah Kerajaan Negeri mewujudkan Hari Mahasiswa merupakan suatu suntikan semangat kepada mahasiswa untuk menjadi mahasiswa yang diimpikan Kerajaan Selangor.
Sebelum itu, majlis Pelancaran Hari Mahasiswa 2012 dengan tema ‘Mahasiswa Cemerlang, Tonggak Negara’ malam tadi, dianggarkan dihadiri  lebih seribu mahasiswa dari seluruh IPTA dan IPTS seluruh Selangor dan negeri berdekatan.
Antaranya mahasiswa dari Universiti Malaya (UM), Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor,  Kolej Antarabangsa Industri Pendidikan Negeri Selangor (INPENS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan lain-lain.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad, Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman.
Hari Mahasiswa yang dipelopori oleh Kerajaan Negeri Selangor itu juga bakal dijadikan sebagai acara tahunan pada setiap 12 haribulan Disember setiap tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan