SHAH ALAM, 14 DIS : Seramai 19,454 ibu tunggal di Selangor telah
mendapat manfaat dan kemudahan daripada berbagai skim yang dimulakan
Kerajaan Selangor antaranya bantuan kewangan dan program keusahawanan.
Mereka adala daripada 24,009 ibu tunggal yang disahkan layak menerima
skim-skim tersebut, berdasarkan statistik yang dikeluarkan portal rasmi
ibu tunggal, e-bu.selangor.gov.my sehingga November.
Daripada 24,009, sebanyak 75.01 peratus didominasi kaum Melayu,
diikuti India seramai 6.5 peratus, Cina 3.3 peratus, Orang Asal 0.01
peratus, dan kaum lain 15.12 peratus.
Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknnologi dan Inovasi,
Rodziah Ismail berkata, Kerajaan Negeri komited dalam mengendalikan
serta menawarkan pelbagai skim serta kemudahan kepada ibu tunggal yang
tidak pernah diberikan Kerajaan Umno-BN sebelum ini.
Beliau berkata, skim itu antaranya ialah Skim Mikrokredit Luar Bandar
(SkimSel), Skim Mikrokredit Bandar (MiMBAR), Skim Mikrokredit Wanita
Ladang (Wala), Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKembar) dan Skim Bantuan
Tadika Selangor (Tunas).
“Selain itu, ia turut merangkumi program Pemberdayaan Wanita Selangor
menerusi Pusat Wanita Berdaya (PWB), program Pemberdayaan Ibu Tunggal
SOHO Selangor (PET-SOHO-S), Skim wanita kerja dari rumah, Bantuan Am
sebanyak RM250, Laman Dapur, Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor dan
Lembaga Zakat Selangor.
“Skim-skim yang ditawarkan adalah berkonsepkan mentor-mentee di mana
seramai 19,454 ibu tunggal telah mendapat skim dan kemudahan yang
ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, kesemua skim yang ditawarkan memberi peluang kepada
ibu tunggal berpendapatan kurang RM1,500 mendapat kemudahan dengan hanya
mendaftar.
Dalam pada itu, Rodzuah turut menyarankan mana-mana ibu tunggal yang
layak tetapi belum menerima bantuan untuk merujuk kepada Kerajaan
Negeri.
“Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim bersifat terbuka terhadap kritikan dan bersedia
mendengar idea yang bernas dan konstruktif kerana Kerajaan Pakatan
Rakyat adalah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab.
“Berkaitan saman terhadap Kerajaan Selangor oleh pihak yang
berkenaan, segalanya akan dijawab di dalam mahkamah. Penegasan lengkap
dan menyeluruh akan dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor sebaik
ketetapan mahkamah diperolehi,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan