SHAH ALAM 13 DIS : Kerajaan Negeri dijangka akan memperkembangkan
Selangor Agro Fest dengan menarik lebih ramai petani moden dari luar
negara untuk mempamerkan produk mereka.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dengan
memperluaskan program itu, petani atau peniaga di negeri ini boleh
melihat sejauh mana keupayaan peniaga dalam negara dan luar negara.
Katanya, jemputan itu akan melibatkan beberapa negara luar antaranya Indonesia, Thailand dan Filipina.
“Kita akan jemput petani moden dari luar negara supaya kita dapat
membuka mata dan pandangan kita tentang bagaimana sektor pertanian dapat
diteruskan dan cara untuk mempertingkatkan lagi pendapatan,” katanya
selepas merasmikan program Selangor Agro Fest 2012(SAF 2012) yang
diadakan di perkarangan Stadium Malawati Shah Alam, di sini.
Hadir sama Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan
Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari ; Pemangku Pengarah Jabatan
Pertanian negeri, Idros Hamid dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi
Negeri (UPEN), Datuk Mohamad Roslan Sakiman.
Turut memeriahkan majlis, Exco-exco Kerajaan Negeri, Adun dan Ahli Parlimen Negeri Selangor.
Abdul Khalid menambah Kerajaan Negeri turut akan berbincang dengan
UPEN bagi mengumpul dan mengkaji segala maklumat teknologi moden yang
bersesuaian untuk digunakan dalam sektor pertanian di negeri itu.
“Ia untuk memantapkan lagi sektor ini supaya Selangor menjadi contoh
kepada negeri lain dalam usaha meningkatkan keuntungan petani seterusnya
merancakkan ekonomi negeri sebagai tanda aras kejayaan perlaksanaan
agenda Pertanian Moden negeri Selangor,” katanya.
Dalam majlis itu, Selangor Agro Fest 2012 yang dijadualkan
berlangsung pada 11 hingga 16 Disember ini mensasarkan hasil jualan
sebanyak lebih RM1 juta dengan kehadiran 500,000 pengunjung.
Bertemakan ‘Selangor Peneraju Pertanian Moden’, sebanyak 150 gerai
yang terdiri daripada usahawan baru dan peniaga khususnya dalam bidang
pertanian, industri asas tani (IAS) dan industri kecil sederhana (IKS)
dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka.
Pameran
itu merupakan acara khusus untuk meraikan golongan tani sekali gus
mempromosikan hasil tani sebagai usaha melambangkan keprihatinan
kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor.
Terdahulu, Dr Yaakob berkata, program selama enam hari itu
menyediakan pelbagai acara seperti pameran pertanian, ‘fun-fair’,
pertandingan memasak, pertandingan sukan rakyat, pertandingan futsal,
ceramah perdana, persembahan pentas, ‘live stock exhibition’ dan
‘petting zoo’.
“Pada tahun lalu, program ini mendapat sambutan memberangsangkan
daripada peniaga dan pengunjung dan bagi menambah kelainan pada tahun
ini, SAF 2012 turut bekerjasama dengan Tourism Selangor Sdn Bhd bagi
menjemput usahawan makanan seperti sate Kajang, nasi ambeng, lontong,
cendol dan pelbagai lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar turut menyampaikan lima anugerah kepada
usahawan-usahawan tani dari seluruh negeri Selangor antaranya kategori
tanaman terbaik, ternakan terbaik, akuakultur terbaik, industri asas
tani terbaik dan anugerah khas sri kandi padi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan