SHAH ALAM,Mac – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengesa semua pihak termasuk pembangkang supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Menteri Besar, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim dalam usaha meningkatkan kualiti pentadbiran kerajaan negeri.
“Beta berharap kita semua akan bekerja dengan niat yang baik serta memberi kerjasama yang perlu kepada kepimpinan negeri yang diketuai oleh Memanda Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Abd Khalid Ibrahim.
“Beta sendiri sentiasa berbincang dengan Memanda Menteri Besar baik dalam soal pentadbiran, ekonomi dan permasalahan sosial terutama melibatkan negeri di mana beta banyak memberi nasihat kepada Memanda beta demi kesejahteraan rakyat,” tegas baginda.
Sultan Selangor bertitah demikian ketika merasmikan Sidang Dewan Negeri Selangor Pertama Penggal keempat Dun Kedua Belas, di Shah Alam.
Baginda turut menegaskan kerajaan negeri supaya menguruskan hasil negeri secara telus dan baginda tidak mahu kerajaan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan penyelewengan terhadap harta kerajaan.
“Limpahan hasil yang tinggi tidak akan memberi makna jika tidak diurus secara berhemat dan berhemah.” titah baginda.
“Justeru beta tidak mahu kerajaan melindungi sesiapa yang berlaku curang terhadap amanah ini termasuk di kalangan rakan atau keluarga sendiri. Sebaliknya keberanian mengambil sikap yang tegas dan jelas untuk memerangi salah laku yang demikian wajib disokong oleh semua rakyat.” titah baginda.
“Sikap tegas dan jelas dalam hal sebegini perlu untuk mewujudkan satu budaya pentadbiran yang boleh dipercayai serta dihormati.” titah baginda.
Dalam titah Sultan Selangor juga, baginda mengingatkan kerajaan negeri supaya memantau segala perbelanjaan yang dibuat agar tidak melebihi had sehingga mendatangkan pembaziran sekaligus merugikan pendapatan yang dihasilkan oleh negeri Selangor.
“Pada masa yang sama jangan kita berbelanja secara boros dan tanpa kawalan. Pengalaman lalu harus kita jadikan tauladan. Negeri Selangor hendaklah sentiasa melakukan perbelanjaan secara berhemah dan menggelakkan daripada berlaku pembaziran yang boleh merugikan negeri yang kita cintai ini.” titah baginda.
Persidangan Sidang Dewan Negeri Selangor yang bermula pada 28 Mac hingga 5 April ini akan membahaskan serta menggubal undang-undang berkaitan perkara-perkara tertentu seperti tanah dan sumber-sumber asli (kecuali minyak dan gas), kemudahan awam, kebajikan dan sosial, belia dan sukan, kebudayaan dan pentadbiran negeri dan kerajaan tempatan bagi Negeri Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan