Rabu, 13 April 2011

JAIS Pertingkat Kemudahan Pendidikan Agama

TANJONG KARANG 12 April – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berusaha membangunkan beberapa buah sekolah agama yang dilengkapi pelbagai kemudahan bagi memastikan pelajar-pelajar Islam di Selangor mendapatpendidikan agama secara formal dengan selesa, kata Pengarahnya Marzuki Hussin.

Menurut Marzuki lagi sehingga kini JAIS membangunkan sebanyak 584 buah sekolah seluruh daerah melibatkan 12 buah Pra Sekolah, 11 buah Sekolah Rendah Agama Integrasi.


Menurutnya, JAIS juga membangunkan sebanyak 209 buah Sekolah Rendah Agama, 291 buah kafa integrasi, 23 buah Sekolah Agama Menengah dan dua buah Maahad Tahfiz Sains dan Teknologi.

“Jumlah tersebut sebenarnya masih belum mencukupi untuk menampung bilangan murid Sekolah Agama yang semakin bertambah setiap tahun,” katanya dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama Sungai Tengi Kanan baru-baru ini.

Beliau berkata, Sekolah Rendah Agama di Selangor merupakan medium pendidikan secara formal bagi kanak- kanak berumur enam hingga 12 tahun manakala skop pembelajaran difokuskan ke arah pengajaran asas al-Quran, amali fardu ain serta penguasaan terhadap asas bahasa Arab dan tulisan jawi.

“Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berusaha membina dua blok bangunan mengandungi empat tingkat di atas sebidang tanah berkeluasan 2.624 ekar bermula 2007 dan disiapkan pada tahun 2009.

“Bangunan itu mengandungi 18 bilik darjah, bilik PIBG, bilik guru, bilik mesyuarat, bilik IT, pusat sumber dan surau sementara sebagai satu infrastruktur dalam memastikan keselesaan pembelajaran kurikulum kepada pelajar,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan