SHAH ALAM 29 April : Larangan kerajaan Selangor untuk tidak membenarkan artis tidak bermoral daripada membuat persembahan secara terbuka di negeri ini di sambut baik warga Selangor yang mahu negeri itu bebas daripada pengaruh tidak bermoral yang di bawa segelintir artis.
Malah rata-rata rakyat yang ditemui menyokong penuh tindakan kerajaan negeri ini yang mahu mengekang gejala tidak bermoral daripada terus berleluasa dan menjadi ikutan remaja di Selangor.
Menurut Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, Mohd Nasir Yusof, artis sepatutnya menonjolkan tauladan yang baik untuk diikuti, dan bukannya menyampaikan mesej kurang segar dan memesongkan akhlak sesiapa yang melihat persembahannya.
“Mana-mana individu atau kerajaan tidak suka dengan perlakuan artis tidak bermoral ini, malah kerajaan BN pun tak suka bukan PR sahaja. Isu moral ni semua orang tak suka. Artis yang kita mahukan ialah mesejnya untuk membina rakyat, itu yang kita nak,” katanya.
Manakala menurut menurut Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, Mariam Abd Rashid pula, larangan yang diumumkan kerajaan negeri selari dengan program anjuran kerajaan Selangor yang menolak sebarang gejala tidak bermoral yang menjadi ikutan remaja.
“Kita bukan menolak seni, Islam tu pun ada seni tetapi kita tidak mahu contoh-contoh khususnya remaja mengikutnya. Jika kerajaan tidak membuat larangan ini maka menjadi dwi standard terhadap program anjuran kerajaan negeri seperti SPIES, GEMs, anti zina tetapi dalam masa yang sama kita membenarkan pula artis tidak bermoral melakukan persembahan di sini,” katanya.
Sementara itu, bagi Ketua Kampung Sungai Besar, Ibrahim Katiran pula, pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri yang dipimpin oleh pemimpin Islam adalah bertepatan dan satu tindakan mulia.
“Saya setuju dengan larangan artis tidak bermoral ini kerana negara kita dipimpin oleh orang Islam memang tak sepatutnyalah, kalau dapat yang lebih menutup aurat adalah lebih baik,” ujarnya.
Terdahulu Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali melarang artis sama ada tempatan mahu pun luar negara yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral daripada membuat persembahan secara terbuka di Selangor.
Tindakan itu dibuat kerana melihat perkara tersebut akan memberi kesan negatif kepada masyarakat terutamanya golongan muda di negeri ini.
Menurut Hassan, apa yang dilakukan di Selangor hanyalah untuk menguatkuasakan larangan yang termaktub dalam buku larangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).
“Secara umumnya larangan tersebut terdapat dalam buku kecil yang dikeluarkan oleh JAKIM, mungkin negeri belum ada buku kecil sedemikian, saya akan mintapihak JAIS untuk merangkakan satu buku kecil yang agak lengkap berpandukan apa yang telah dituliskan oleh JAKIM,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan